Maka Asasinema pun menutup panggung malam tadi.
Selalunya saya kira, yang menyebabkan seseorang pengamal pentas itu kembali mendera diri mengusahakan sebuah pementasan ialah kerana rindukan malam terakhir pementasan. Atau debaran malam pertama. Bukan sangat soal duitnya. Malam akhir selalunya menyebabkan kita sebak-hiba, sayu, syahdu dan macam-macam. Nasib berenggang dengan produksi, pelakon dan krew yang diintimi untuk satu tempoh serasa menghantui. Dan rasa dalam diri, kala menghantar penonton pulang keluar panggung dengan kesan benci atau suka pementasan.
‘2 Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun’ adalah jenis teater yang dibenci atau disukai. Clear cut. Saya tahu ramai yang tidak suka. Dan ramai pula pulang dengan suka.
Sesungguhnya untuk sebuah kerja pementasan yang bermula pada 5 Ogos lalu, ia dikira ‘gila’. Pelakon hanya ada tiga minggu untuk memahami watak, mendalami teks dan menguruskan segala hal yang lain. Saya membatalkan pemergian saya ke Paris pada 21 Ogos lalu; satu peluang untuk membaca puisi dengan pemain piano terkenal Perancis Theophile de Wallensburg kerana mahu ikut serta kemeriahan berteater. Memang rugi rasanya tidak ke Paris, tetapi kini, saya kira berada bersama ‘2 Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun’ lebih bermakna.
Penglibatan terakhir saya secara langsung dalam pementasan, ialah teater TiVi yang diadaptasi dari novelet Sasterawan Negara Shahnon Ahmad pada tahun 2003. Ia didanai di bawah program Teater Kecil oleh bahagian Sastera Kebangsaan Dewan Bahasa dan Pustaka. Saya sendiri yang mengarahkannya. Yang berlakon ialah Farid Kamil dan Suriati (AF). Kedua-duanya masih bilis dan tidak dikenali lagi waktu itu.
Kemudian, saya menulis Monsopiad dan lain-lain Cerita yang dipentaskan pada 5-7 Disember 2003 di Esplanade Singapura, didanai oleh National Art Council of Singapore. Monsopiad dan lain-lain Cerita dicalonkan untuk Anugerah Cameronian Award 2003 bagi kategori skrip drama Melayu terbaik. Tetapi saya tidak berada dan terbabit dengan produksi ini kerana bermukim di Turki waktu itu.
Saya memilih untuk berehat dari teater kerana merasa tiada pasukan bekerja yang saya selesa. Juga serasa sukar mencari kawan kerja yang satu kepala dan satu kefahaman.
Pun saya mengarang Bila Tuhan Berbicara (2007) terbitan Ameen Publishing. Dan Karbala (2008) terbitan Aberdeen World. Meski diberi Anugerah Seni Negara 2006 dalam bidang penulisan skrip pentas saya masih belum berasa terpanggil untuk kembali berteater.
Jun lalu, ia berubah, apabila Jun lalu saya diasak oleh pelbagai maklumat politik yang dibisikkan di telinga oleh pelbagai politikus dari berbagai-bagai kem dan puak. Sebagai pengarang yang bergulat dengan sebab dan akibat, saya dapat menyusun plot yang berselerak dan memahami asal. Respon segera saya ialah merenung semula sejarah Sultan Alauddin yang dibunuh secara misteri di Pagoh. Dan mahu menulis sebuah sandiwara-purbawara.

Saya pun melakar sebuah purbawara berjudul ‘Pagoh’. Saya adaptasikan dari novel Nama Beta Sultan Alauddin. Dr Abu Hassan Hasbullah teruja untuk mementaskannya. Beliau menyebut beberapa nama antaranya Mohd Robani Hassan. Saya sedikit skeptikal. Kurang meyakini bakat lakonannya. Wajah, susuk tubuh dan renungannya memang boleh digilap sebagai sultan. Tetapi, saya belum percaya.
Maka saya merombak naskah ‘Pagoh menjadi ‘2 Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun’ supaya ia lebih moden, transparen dan mudah dikunyah oleh audien hari ini.
Dan maaf, saya akan terus berdegil, drama pun masih boleh menjadi tempat berwacana!
Kerana Augusto Boal pun berwacana dalam drama. Memang ‘2 Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun’ bukan sepenuhnya teater forum ala Boal. Dr Zainal Latiff yang datang menegur kami tentang pendekatan Boal. Meski sentuhan Boal masih jauh tetapi semangat Boal iaitu theatre should empower the oppressed telah kami upayakan. Malam pertama, seorang penonton Tionghua dan Serani memberitahu: Kamu semua dapat markah ‘berani’. Bahkan ada audien rasa ‘kami gila’ kerana ‘terlalu berani’. Juga, saya kira ‘Boalnya tidak jadi’ kerana audien kita masih lemah berfikir dan malas berapresiasi. Pada malam tertentu misalnya, penonton yang ramainya pelajar lebih tertarik dengan aksi bukan isi.
Naskah saya kali ini menampilkan tiga lapis teks. Robani sebagai Sultan Alauddin Alhamdulillah mendapat ketiga-tiganya. Tipsnya untuk mereka yang mahu merenung lagi, adalah ‘racun’.
Khalayak yang kurang memerhatikan lapis-lapis makna ini tidak akan menyedari bahawa Maya dan Tun Senaja adalah tesis dan anti-tesis. Ayat-ayat Quran yang dibacakan Maya pada awal monolognya mencerminkan kontra-pegangan Tun Senaja. Begitu juga warna-warni watak Azam, lelaki nakal yang menjadi warak dan luluh lantak di dalam di penghujung bab tiga yang digemari ramai orang itu. Ada banyak lagi selirat teks yang berlapis-tindan. Pada malam di mana khalayak yang sensitif mungkar politik; mereka akan segera menangkap.
Dalam tiga minggu bekerja, kami juga dilanda berbagai dugaan. Yang paling utama ialah sabotaj Muzium Negara terhadap kami. Saya agak marah, ya, sebagai penerima Anugerah Seni Negara 2006, boleh diperlakukan sebegini, maka kalau orang lain bagaimana? Kami seniman bukan peminta sedekah.
Kemudian kami berusaha keras mencari panggung. Semuanya penuh: MATIC, Stor DBP, Panggung Bandaraya malah di mana sahaja bertembung dengan produksi lain. Kami terpaksa beralih ke dalam kampus UM.
Kembali ke ‘tempat kelahiran’ saya. Tiba-tiba ingatan terhadap Lestari yang mula-mula mementaskan Rintih Chicago bergejala. Juga Angin Madinah.
Auditorium Akademi Pengajian Islam UM fasiliti lampunya terhad, bukan itu sahaja – ia tidak akustik justeru lontaran suara pelakon kami tenggelam dan diserap; dan belakang pentas amat kecil serta tiada kamar persalinan dan bilik air. Pada Khamis malam, pementasan bermula lewat kerana penghawa dingin dalam dewan tidak berfungsi baik. Juru teknikal gemar mengubah-ngubah kedudukan lampu. Dan kami kadang-kala hanya boleh masuk mulai jam 7pm kerana ada kuliah sebelumnya di situ. Poster dan keratan akhbar kami sering dicabut (mungkin) oleh pelajar yang ‘tidak suka’. Hari pertama pementasan penjuru siling auditorium malah roboh kerana dilanda hujan lebat dan ribut.

Selain dugaan itu, kami juga berdepan dengan faktor alam. Cuaca tidak mengizinkan dan kutipan amat rendah. Rabu lepas kami mementaskan juga teater ini di hadapan kurang dari 20 orang penonton. Publisiti kami sebenarnya agak baik. Mendapat liputan Siasah, Harakah, Berita Minggu, Astro Awani selama 5 hari, dan MalaysiaKini rasanya promosi kami jauh lebih baik dari produksi lain. Yang lain, kami hanya punya blog untuk menyebar maklumat.
Dugaan juga datang dalam bentuk lain, seorang ‘penulis kurang ajar’ telah menelefon pihak Akademi Pengajian Islam UM meminta supaya pihak pentadbiran melarang dan menutup persembahan kami. Penulis itu malah masuk menyelinap secara percuma dan merakam pementasan tanpa kebenaran. Saya menyerahkan kepada kebijaksanaan Dr Abu Hassan untuk menangani penulis biadab versi Tun Senaja tersebut.
Apalah produksi tanpa ’sengketa kecil’. Itulah bumbu dan rencahnya. Tiga minggu yang meletihkan tentu sahaja menimbulkan pergeseran di sana sini, dan Alhamdulillah kami atasi dengan baik dan senyuman. Teater ini teater kawan-kawan, untuk merapatkan kasih sayang. Bukan menjurangkan.
Rasanya, orang akan bertanya apakah saya puas dengan ‘2 Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun’. Ya, saya puas. Saya kembali ke dunia teater setelah lima tahun menyepi dengan langkah yang betul Insya-Allah. Ini satu come back yang bermakna.
Juga saya berterima kasih kepada semua krew yang bertungkus-lumus terutama adik Diwan yang bekerja keras di sela teori-teori politik antarabangsanya. Hamzah yang berdarah dahinya ketika memasang lampu. Krew yang kadang berlapar mengerjakan sesuatu dengan tekun selain mengorbankan cuti. Zamani yang setia dan Wan Zaida yang selalu menyediakan kopi hangat untuk kami.

Kami juga beruntung mendapat pelakon seperti Emad Zainal yang sebenarnya pada 5 Ogos lalu adalah kaku dan kayu. Begitu Meer yang saat ia hadir seminggu lewat ia masih meraba dan sering dimarahi kerana gagal menjadi pengarah hadhari yang kami kehendaki. Tetapi pada malam pertama pementasan, Meer ternyata menyerlah. Juga, watak yang dibawa Rudy sangat penting kerana ia menghantar signal-signal sebal, muak, tepu, jelak kita semua terhadap politik yang dapat dianggap sebagai politik kawanan anjing menjarah bangkai. Mereka semua pelakon amatur.
(Oh ya Emad, selamat melangsungkan perkahwinan selepas eid nanti!)
Zack Idris, beberapa kali saya dengar daripada mulut Dr Anuar Nor Arai akan kewibawaannya. Kini saya akui. Beliau seorang pelakon berdisiplin. Datang paling awal, bekerja keras dan bertindak sebagai abang untuk semua. Zack pantas menangkap sub-teks. Malam pertama pementasan, lakonannya amat hidup sehingga ramai penonton yang menghantar sms mengatakan dua ayat terakhirnya serasa bergema sampai ke ranjang katil sebelum melelapkan mata.
Robani, ya, saya memang ragui beliau sejak mula. Atlet berlakon? Tentu tidak. Dan Masya-Allah setelah lebih 3 minggu; Robani berkampung di UM dan dilatih secara poket – beliau amat berpotensi. Saya tahu potensi beliau itu menyebabkan pelakon muda terkenal yang datang pun menggigil lutut kerana bimbang digugat. Tawaran sudah mulai bergolekan untuk beliau.
Pun, kami hormati pilihan ‘baginda tuanku’: Robani akan kembali ke trek seawal sabtu ini. Kita doakan beliau terus berjaya dalam bidang sukan. Bidang yang beliau dapat melakukannya dengan berbobot. Dalam dua tahun lagi setelah lututnya makin haus melangkah pagar, mungkin, kita akan sambut beliau kembali. Siapa tahu, dia paling sesuai melakonkan watak Sazli dalam Tunggu Teduh Dulu?

Mungkin, mungkin kami akan mementaskan Pagoh. Purbawara sebenar untuk tontonan. Itu sudah masuk diari saya untuk 2009.
Kali ini kami tidak akan ‘menipu’ – kami akan memainkan purbawara yang sebenar. Harap tiada yang mempermainkan kami. Harap kami sempat mencari dana. Kerana untuk drama ini, kami keluar duit poket dan saya sendiri tidak mengambil apa-apa. Saya buat ini kerana saya suka. Kami buat, kerana kami mahu memberi respon yang kami rakyat biasa murka ditindas dan jelak diperlakukan seperti timun oleh politikus kawanan anjing.
Terima kasih kerana datang menonton. Terima kasih kerana memanjangkan tentang produksi kami. Ramadhan sudah menampilkan muka. Ia sebuah kenangan manis sebelum puasa; setidak-tidaknya untuk saya. Tiga minggu yang melelahkan, tetapi puas.
Kini, izinkan saya bersuluk semula di Pagoh sehingga usai musim haji.
Antara blog yang menyinggung pementasan 2 Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun, terima kasih:
Pentas UPM
Nisah Haron
U-Hah
Jase Mario
el-Maaniq
AriffMohamad
MenimbangRasa