Tiga hari apresiasi Kliff
Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my
Menariknya, perbincangan ini disertai penggiat filem tempatan dan luar negara termasuk pensyarah akademik. Sebelum perbincangan bermula, tayangan filem berkenaan diadakan terlebih dulu. Untuk hari pertama yang bermula jam 9.30 pagi, perbincangan menjurus filem KMBM dikendalikan Mohamad Saleeh Rahamad dari UM sebagai moderator bersama tiga panel jemputan iaitu Norman Yusof dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim dan wakil Iran, Pejman Nasheri. Pengarah KMBM, Mamat Khalid bersama pelakon Rosyam Nor dan Umi Aida juga dijangka hadir pada hari berkenaan.
Pada hari kedua yang bermula jam 2 petang, filem Captain Abu Raed dibincangkan antara S M Zakil (moderator) bersama panel Profesor Madya Dr Rahimin Affandi Abd Rahim (UM) dan Anwardi Datuk Jamil (FDAM) manakala perbincangan filem Goodbye Life menyusul pada hari ketiga. Acara ini turut bermula jam 2 petang menemukan Profesor Madya Datin Dr Hasmah Zainuddin (UM) selaku moderator bersama panel iaitu Profesor Madya Fuziah Kartini Hassan Basri (UKM) dan pengarah Shuhaimi Baba.
Mengenai usaha acara ini dalam membawa kebaikan pada penggiat filem termasuk persada perfileman tempatan, penganjur yakin acara ini mampu menarik ramai penonton untuk hadir.
Pensyarah kanan FSSS merangkap penasihat program, Dr Abu Hassan Hasbullah berkata penganjur menjangkakan seramai 300 penonton menjayakan acara tiga hari ini. Katanya, UM sebagai tuan rumah turut mengalukan kehadiran orang ramai termasuk pelajar universiti dan pensyarah dalam bidang lain seperti sains antropologi dan geografi untuk memberikan pandangan.
“Acara ini sepatutnya menjadi platform untuk penggiat filem tempatan dan antarabangsa bertukar pendapat dan berkongsi pengalaman. Malah acara ini adalah usaha kita merayakan filem tempatan dari sudut pandangan masyarakat luar negara.
“Bukan hasrat penganjur mahu menaikkan filem asing tetapi penonton berpeluang untuk kenal filem dari luar negara. Menerusi acara sebegini, kita dapat mempromosikan filem tempatan ke pasaran antarabangsa.
“Sebelum ini sukar untuk menonton filem dari luar negara yang ditayangkan di UM kecuali mempunyai nilai luar biasa. Saya yakin acara ini bersama Kliff mampu menjadi dinamik dan lebih praktikal berdasarkan aspek intelektual yang digabungkan,” katanya.
Bagi Ahmad Ibrahim atau Mat London pula, acara ini mempunyai signifikan pada kerjasama antara penganjur yang pernah berhasrat untuk menganjurkan acara yang sama sebelum ini. Katanya, acara seperti ini dirancang pada tahun depan sebaliknya dipercepatkan menerusi kliff.
“Acara ini memberi peluang pada penggiat filem bersua muka dan kita sendiri dapat mendengar pandangan penggiat seni dari luar negara. Selain itu, dari acara ini, penggiat seni dapat membuat analisa dan perbincangan lebih mendalam mengenai sesebuah filem.
“Seperti KMBM, kita boleh melihat apakah naratif mengangkat visual hitam dan putih. Menerusi filem Captain Abu Raed pula, kita dapat mengetahui falsafah filem Jordan yang jarang dipertontonkan di negara ini. Begitu juga dengan Goodbye Life yang diarahkan Ensieh Shah-Hosseini dikenali iron lady apabila senario di negaranya, kehadiran pengarah wanita mencipta polemik di kalangan media.
“Ketiga filem ini akan dibincangkan antara penggiat filem tempatan dan luar negara. Untuk KMBM, kita berpeluang mendengar pandangan penggiat filem luar negara manakala penggiat filem tempatan pula turut memberikan pandangan terhadap filem mereka,” katanya.
Tags: KLIFF2008








